TERIMA kasih diucapkan kepada pihak kerajaan di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang memberi perihatian tehadap nasib golongan pekerja dalam negara kita khususnya pekerja yang berpendapatan rendah dengan menaikkan kadar gaji minimum kepada RM1,100 melalui proses pembentangan Bajet 2019 Jumaat yang lalu.

Namun, kadar gaji minimum yang telah diumum oleh pihak kerajaan sebanyak RM1,100 yang akan dikuatkuasakan di seluruh negara pada tahun hadapan dibimbangi masih tidak mampu atasi masalah kos sara hidup yang terpaksa dihadapi oleh para pekerja khususnya mereka yang bekerja di Semenanjung Malaysia.

Pada awal bulan September yang lalu, pihak kerajaan telah mengumumkan kadar gaji minimum yang baru iaitu pada kadar RM1,050 iaitu peningkatan sebanyak RM50 terhadap kadar gaji minimum pada masa kini iaitu sebanyak RM1000.

Dengan pengumuman kadar gaji baru yang telah diumumkan melalui Bajet 2019, ia menyaksikan peningkatan sebanyak RM100 berbanding dengan kadar gaji minimum yang ada ketika ini.

BACA: Belanjawan 2019: Ibu bapa 30,000 pegawai lantikan kontrak dapat kemudahan perubatan

Adalah penting supaya pihak kerajaan memastikan kadar penyelarasan gaji minimum yang dilakukan ke seluruh negara terbabit mengambil kira suasana dan keadaan persekitaran tempat seseorang itu bekerja terutamanya mereka yang bekerja di Semenanjung Malaysia dan mereka yang bekerja di Sabah dan Sarawak, keupayaan pihak majikan untuk memberi jumlah gaji berkenaan di semua negeri serta melakukan proses kajian yang teliti dengan semua pihak yang berkaitan mengenai perkara ini sebelum keputusan akhir diberikan mengenainya.

Perkara ini adalah selaras dengan Seksyen 4 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 [Akta 732] yang memperuntukkan bahawa peranan yang harus dimainkan oleh Majlis Perundingan Gaji Negara ialah:

(a) menasihati kerajaan tentang semua perkara yang berhubungan dengan gaji minimum termasuk perkembangannya di peringkat antarabangsa;
(b) membuat syor kepada Kerajaan tentang kadar dan liputan gaji minimum mengikut sektor, jenis pekerjaan dan kawasan wilayah, dan perkara - perkara lain yang berhubungan dengan gaji minimum dan gaji;
(c) membuat rundingan dengan orang awam tentang kadar dan liputan gaji minimum;
(d) mengumpul dan menganalisis data dan maklumat dan menjalankan kajian tentang gaji dan petunjuk sosioekonomi;
(e) menyelaraskan dan menyelia, dan menilai impak, pelaksanaan gaji minimum;
(f) mengkaji semula perintah gaji minimum;
(g) menimbang teliti tentang semua perkara yang berhubungan dengan gaji minimum;
(h) menyebarkan maklumat dan analisis tentang gaji; dan
(i) menjalankan apa-apa fungsi lain yang difikirkannya patut untuk membolehkannya melaksanakan fungsinya dengan berkesan atau yang bersampingan dengan pelaksanaan fungsinya.

Memandangkan pihak kerajaan telah mengambil keputusan terhadap penetapan gaji minimum ini pihak kerajaan harus juga memastikan para pekerja yang bakal menerima ketetapan gaji minimum ini tidak terus dibelenggu dengan masalah kos sara hidup.

Pihak kerajaan perlu memperkenalkan beberapa bentuk elaun baru khusus kepada pekerja tempatan yang menerima gaji minimum ini bagi mengurangkan kos sara hidup mereka.

Pihak kerajaan juga haruslah memastikan penetapan kadar gaji minimum yang baru diumumkan serta yang bakal diumumkan di tahun–tahun yang akan datang memberi manfaat khusus kepada pekerja tempatan bukannya pekerja asing yang dilihat masih banyak mendominasi sektor pekerjaan bergaji rendah dalam negara kita.

Pelarasan gaji minimum yang baru diumumkan ini akan dilaksanakan di seluruh negara bermula pada tahun 2019 depan.

Perintah Gaji Minimum 2012 mula berkuatkuasa pada Januari 2013 yang menetapkan nilai RM900 (atau RM4.33 sejam) di Semenanjung dan RM800 (atau RM3.85 sejam) di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan setelah diumumkan Perdana Menteri ketika itu pada Mei 2012.

Kajian semula kadar ini telah dilakukan selaras dengan peruntukkan undang-undang dan mulai 1 Julai 2016 ia ditetapkan pada RM1,000 sebulan (atau RM4.81 sejam) bagi Semenanjung manakala kadar RM920 sebulan (atau RM4.42 sejam) ditetapkan bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Penetapan kadar gaji baru yang diumumkan ini selaras dengan kehendak Seksyen 25 (1) Akta Majlis

Perundingan Gaji Negara 2011 [Akta 732] yang menetapkan kadar gaji minimum dalam negara kita dikaji sekurang-kurangnya sekali dalam tiap-tiap dua tahun.

Adalah penting untuk diketahui bahawa, sebarang proses penetapan kadar gaji minimum perlu mengambil kira pandangan orang ramai, serta badan–badan yang yang berkaitan yang mewakili pihak pekerja dan majikan seperti pihak Kongres Kesatuan Pekerja Malaysia (MTUC) dan Persekutuan Majikan–Majikan Malaysia (MEF).



Disediakan oleh:

Dr Muzaffar Syah Mallow,
Pensyarah Kanan,
Fakulti Syariah & Undang–Undang (FSU),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)