Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, kadar kematian akibat pandemik COVID-19 di negara ini masih rendah berbanding beberapa negara lain.

Ia sekali gus menunjukkan tahap perkhidmatan perubatan yang diberikan kepada pesakit COVID-19 di Malaysia berada pada tahap yang baik.

“Negara lain (kematian) mencatatkan 5.6 peratus atau 4. 6 peratus. Jadi, negara kita kadar kematian adalah rendah. Ini menunjukkan perkhidmatan perubatan yang diberikan contohnya di wad atau di Unit Rawatan rapi (ICU) adalah pada tahap yang baik dan juga memuaskan.

“Pakar bius kita dapat merawat pesakit dengan sebaik mungkin,” katanya pada sidang media, di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, kapasiti makmal untuk ujian pengesanan COVID-19 juga telah dipertingkatkan kepada 43 buah makmal di seluruh.

Ia, kata beliau, membabitkan makmal daripada sektor awam, universiti dan sektor swasta.

Katanya, sebelum ini Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) merupakan satu-satunya makmal yang terlibat dalam ujian tersebut.

“Terkini, kapasiti maksima makmal untuk menjalankan ujian pengesanan dan pengesahan COVID-19 adalah sebanyak 11,546,” ujarnya.

Setakat Khamis, Malaysia mencatatkan jumlah kumulatif kematian sebanyak 67 kes atau 1.58 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.