Tiada perubahan kadar tarif elektrik semasa bagi pengguna di Semenanjung untuk tempoh tiga tahun akan datang.

Tarif di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan juga akan dikekalkan bagi tempoh Januari hingga Jun tahun depan.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili berkata, persetujuan itu dicapai menerusi mesyuarat cabinet pada 13 Disember lalu.

Kadar tarif di Semenanjung dikekalkan bagi tempoh 1 Januari 2018 hingga 31 Disember 2020 yang digunakan sejak 1 Januari 2014.

“Mesyuarat Kabinet juga bersetuju kerajaan menampung keseluruhan rebat tarif elektrik sebanyak RM1.80 bagi setiap kilowatt-jam (kWj) dengan jumlah keseluruhan RM929.37 juta bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2018.

“Secara keseluruhannya, kerajaan memberikan rebat berjumlah RM6.3 bilion kepada pengguna di Semenanjung bagi tempoh Mac 2015 hingga Jun 2018,” katanya dalam sidang media di Kota Kinabalu, hari ini.

Mengulas lanjut, Maximus berkata, pengguna di Sabah dan Labuan juga akan menikmati rebat tarif elektrik sebanyak RM1.20 sen kWj sepanjang tempoh enam bulan tahun depan.

“Kerajaan memberikan subsidi bahan api dan tarif sebanyak RM1.631 bilion bagi pengguna di Sabah dan Labuan untuk tempoh Mac 2015 hingga Jun 2018,” katanya.