Kerajaan hari ini mengumumkan penurunan kadar levi dan tol di Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) berkuatkuasa Selasa ini bagi mengurangkan kesesakan yang berlaku di Tambak Johor.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan telah berbincang secara mendalam dan mendapat kata putus bersama kerajaan Singapura sebagai langkah memberi kemudahan kepada rakyat khususnya yang bekerja di negara seberang tambak itu.

Beliau berkata, kerajaan telah bersetuju untuk mengurangkan levi kenderaan komersial di Linkedua kepada RM50 bagi kedua-dua laluan keluar dan masuk ke Malaysia daripada kadar antara RM100 hingga RM200 pada ketika ini.

Selain itu, caj tol di luar waktu puncak bagi Linkedua iaitu antara jam 10 pagi hingga 3 petang dan jam 11 malam hingga 5 pagi untuk semua kenderaan kecuali motosikal juga dikurangkan antara 47 peratus hingga 82 peratus mengikut kelas kenderaan.

"Sebuah jawatankuasa tertinggi di bawah Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) akan ditubuhkan bagi lihat keseluruhan operasi Tambak Johor dan akan berhubung dengan rakan sejawatannya di Singapura bagi cari langkah tambahan (meningkat tahap operasi) Tambak Johor.

"Semua ini dilakukan untuk dua tujuan iaitu menbantu rakyat kurangkan kesesakan dan tingkat kedatangan pelancong," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Majlis Penyerahan Program Pemasangan Lampu Jalan Kampung Negeri Johor di Bukit Mor, di sini, hari ini.

Keputusan itu dijangka dapat mengurangkan kenderaan komersial di Tambak Johor sebanyak 40 peratus selain memberi manfaat besar kepada rakyat Johor yang bekerja di republik itu.

Langkah itu juga dilihat dapat memberi manfaat kepada pengguna harian yang tidak perlu lagi keluar lebih awal setiap hari untuk mengelakkan kesesakan, sekali gus meningkatkan industri pelancongan negara.

Mengulas lanjut, Najib berkata, antara langkah tambahan yang mungkin dicadangkan adalah dengan mewujudkan hanya satu pusat pemeriksaan antara Malaysia dan Singapura bagi menambah baik pengurusan trafik di Tambak Johor.

Hadir sama, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri dan Ahli Parlimen Muar Datuk Seri Razali Ibrahim.