Penasihat Media dan Komunikasi Perdana Menteri Datuk A. Kadir Jasin menasihatkan P. Waytha Moorthy dan Dr Maszlee Malik agar mendengar nasihat Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Menulis di blognya, wartawan veteran itu mendakwa tindak-tanduk Waytha Moorthy dalam peristiwa keganasan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ25, Subang Jaya beberapa hari lalu tidak membantu mengukuhkan perpaduan negara dan integrasi nasional.

"Perdana Menteri sudah menasihati beliau. Tapi Perdana Menteri kita ini baik hati dan kalau beliau marah pun ada orang tak sedar.

"Jadi Waytha Moorthy yang belum lama kenal beliau janganlah “gung-ho” dan selesa sangat dengan kedudukan beliau," katanya merujuk peristiwa keganasan di Kuil Sri Maha Mariamman, Putra Heights di Subang Jaya yang tercetus awal pagi Isnin.

Anggota Majlis Tertinggi Bersatu itu juga menasihatkan Waytha Moorthy agar tidak memalukan Yang di-Pertuan Agong dan perdana menteri.

"Ingatlah, anda bukan dipilih oleh rakyat jelata. Anda Senator lantikan Yang di-Pertuan Agong dan diangkat menjadi menteri oleh Dr Mahathir.

"Tolonglah jangan malukan Raja kita dan Perdana Menteri kita," katanya lagi.

Selain Waytha Moorthy, Kadir turut menasihatkan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik agar mengembalikan sekolah kebangsaan kepada tujuan asalnya, iaitu sebagai sekolah perpaduan untuk semua bangsa dan agama.

Menurut Kadir, menteri pendidikan itu baru saja 'dikuliahkan' oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Saya setujulah dengan Perdana Menteri bahawa kita sudah ada banyak sekolah agama – sekolah agama kerajaan, sekolah agama negeri, sekolah agama swasta, sekolah pondok dan tahfiz – jadi tak perlulah nak “sekolahagamakan” sekolah kebangsaan," tegur Kadir.

Beliau juga mengingatkan Maszlee bahawa banyak ibu bapa bukan Melayu tidak lagi menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan kerana sekolah kebangsaan sudah jadi macam sekolah agama.

"Takkan menteri yang cerdik macam Maszlee tak tahu bahawa banyak ibu bapa bukan Melayu tidak lagi menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan kerana sekolah kebangsaan sudah jadi macam sekolah agama.

"Di pihak lain pula makin banyak ibu bapa Melayu menghantar anak mereka ke sekolah jenis kebangsaan Cina kerana mahu anak-anak mereka lebih berjaya," ujarnya.

Di akhir tulisannya, Kadir turut mengingatkan menteri-menteri lain agar tidak menganggap mereka sudah berjaya hanya kerana beliau menegur dua menteri sahaja.

"Saya sebut dua nama saja. Ini tidak bermakna menteri-menteri lain sudah berjaya. Cuma kali ini bukan giliran anda.

"Anggaplah saya guru pelawat tua yang duduk di belakang kelas memerhatikan tindak-tanduk dan kelakuan mereka," tulis beliau.