Penguasaan Bahasa Melayu dan Inggeris dalam kalangan murid-murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) menjadi lebih interaktif melalui penggunaan teknologi maklumat (ICT) di bawah projek "Chinese Primary Smart School Programme 2.0".

Timbalan Menteri Pendidikan II Senator Chong Sin Woon berkata sebanyak RM1.8 juta telah diperuntukkan oleh MCA pada peringkat permulaan bagi projek perintis yang melibatkan kira-kira 10,000 orang murid SJKC di seluruh negara.

"Di bawah projek ini, murid-murid dapat mempelajari bahasa dalam suasana yang menyeronokkan dan interaktif kerana melibatkan penggunaan teknologi canggih di dalam bilik darjah dengan bantuan guru-guru di sekolah," katanya ketika melancarkan projek "Chinese Primary Smart School Programme 2.0" di SJKC Wangsa Maju di sini, pada Jumaat.

Chong yang juga Ketua Pemuda MCA berkata parti itu telah memperuntukkan RM60,000 kepada sekolah tersebut bagi membangunkan penggunaan ICT dalam kalangan murid-murid Tahun Satu hingga Tahun Tiga di bawah projek itu.

Sembilan lagi sekolah di seluruh negara turut terlibat dalam projek perintis ini iaitu SJK (C) Yong Peng 2; SJK (C) Choong Hua 2, Bidor; SJK (C) Khaik Yew, Tebong, Melaka; SJK (C) Foon Yew 5, Johor Bahru; SJK (C) Chong Cheng, Kulim; SJK (C) Chung Ching, Raub; SJK (C) Chung Hwa Wei Sin, Kuala Terengganu; dan SJK (C) San Yuk, Rawang.

Projek "Chinese Primary Smart School Programme 2.0" dilaksanakan secara bersama oleh Edutech Kumpulan dan Wiedu Corporation, yang bertanggungjawab membangunkan kandungan perisian dan latihan modul untuk guru dan murid-murid.

Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah SJKC Wangsa Maju Datuk Yew Teong Look, kira-kira 160 murid-murid sekolah itu akan belajar kedua-dua bahasa di dalam makmal melalui kaedah interaktif dengan bantuan tablet, projektor dan kemudahan ICT lain.

"Mereka akan mempelajari bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris menggunakan kemudahan-kemudahan tersebut secara bergilir-gilir mengikut jadual yang ditetapkan," katanya.