Kos sara hidup dan lain-lain isu berhubung kualiti hidup masih mendapat penerimaan negatif dalam kalangan rakyat.

Menurut kaji selidik The Edge yang diterbitkan baru-baru ini, sekitar 40.5 peratus daripada keseluruhan 37,262 responden memilih kos sara hidup sebagai isu yang perlu ditangani Kerajaan Pakatan Harapan dengan kadar segera.

Ia diikuti dengan pertumbuhan ekonomi (15.45 peratus), perkauman dan agama (12.29 peratus), serta jenayah dan rasuah (10.26 peratus).

Bagaimanapun, kaji selidik itu turut menunjukkan 62.72 peratus responden menganggap isu alam sekitar dan perubahan iklim mendapat tempat paling rendah dalam pilihan mereka.

Sebagai perspektif, isu kedua terendah dalam kalangan responden ialah kebebasan bersuara dan reformasi institusi, dan hutang negara.

“Dapatan kajian ini dilihat selari dengan sebahagian daripada janji-janji yang telah digariskan di bawah Manifesto Pilihan Raya Pakatan Harapan, yang mana telah dilaksanakan dan masih belum dilaksanakan.

“Selain itu, ikrar seperti pembaharuan institusi, dan siasatan ke atas skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), serta usaha menangani rasuah di kalangan penjawat awam, dapat dilihat dengan jelas,” menurut kaji selidik itu lagi.