Kementerian Sumber Manusia akan mengkaji semula Akta Kerja 1955 bagi memastikan ia sesuai dengan situasi pekerjaan ketika ini.

Menterinya, M. Kula Segaran berkata, lapan perkara baharu juga sedang dipertimbangkan untuk dimasukkan ke bawah akta berkenaan bagi memastikan ia lebih inklusif dalam melindungi kepentingan semua pihak termasuk golongan pekerja serta majikan.

Menurut beliau, akta berkenaan ketika ini telahpun dilihat secara menyeluruh oleh kementeriannya dan dijangkakan laporan penuh kajian terbabit akan siap sepenuhnya pada minggu hadapan.

"Kita sedang melihat perkara ini termasuk lapan perkara baharu itu. Sekarang kita sedang mengadakan perbincangan dengan pemegang yang berkepentingan, persatuan pekerja, badan bukan kerajaan dan juga beberapa pihak lain.

“Lapan perkara baru ini dilihat perlu kerana sesetengah daripada (akta) itu sudah terlampau lama, tidak menepati keperluan pekerjaan ketika ini,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Pesta Kerjaya Untuk Golongan Kelainan Upaya (OKU) di Yayasan Sultan Idris Shah di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia, Hal Ehwal Pengguna dan Integrasi Nasional, A. Sivanesan dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pembangunan Modal Insan negeri, Howard Lee.

Sementara itu, mengulas mengenai program berkenaan, Kula Segaran berkata, pihaknya berharap golongan OKU diberikan lebih ruang dan peluang untuk berama-sama membangunkan sektor ekonomi negara.

“Setakat ini di sektor kerajaan seperti ditetapkan adalah 1 peratus untuk golongan OKU namun buat masa ini ia berada pada 0.6 hingga 0.8 peratus sahaja, kementerian sedang berusaha untuk tingkatkan angka ini.

“Untuk sektor awam pula, perlunya satu kesedaran mengenai beberapa pelepasan yang bakal dinikmati mereka sekiranya mengambil pekerja-pekerja OKU ini contohnya cukai akan dikecualikan, sekiranya wujud kesedaran ini maka sudah tentu lebih ramai golongan ini akan diambil bekerja,” ujarnya.