Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan meneruskan kajian mengenai vaksin Dengvaxia yang dikatakan mampu mencegah virus denggi sebelum diguna pakai pengamal perubatan.

Timbalannya, Dr Lee Boon Chye berkata tiga perkara akan dititikberatkan sebelum vaksin baharu tersebut didaftarkan iaitu aspek keselamatan, keberkesanan dan kos dari segi ekonomi.

"Vaksin ini belum didaftarkan lagi dan masih melalui proses kajian. Sama ada kerajaan guna atau tidak, ini bergantung kepada keberkesanan kos sebagai dasar," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Denggi ASEAN Ke-3, di sini, hari ini.

Februari lalu, bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam menegaskan kerajaan sebelum ini tidak menggunakan vaksin Dengvaxia kerana tiada kajian sahih penggunaan vaksin terbabit mampu mencegah virus denggi dan satu kajian mendalam perlu dijalankan.

Filipina antara negara terawal yang menggunakan vaksin Dengvaxia namun menggantung pemberian vaksin tersebut sejak November tahun lepas selepas kematian 14 murid disyaki kerana menggunakan vaksin itu.

Dalam pada itu, Dr Lee berkata walaupun kes denggi di negara ini menunjukkan trend menurun, namun usaha menangani masalah denggi perlu diteruskan.

Jelasnya, dalam tempoh Januari hingga Julai tahun ini, 32,435 kes dilaporkan berbanding tempoh yang sama pada 2017, sebanyak 49,726 kes dilaporkan sekali gus menunjukkan penurunan 17,291 kes (34.8%).

Katanya, jumlah kematian juga menunjukkan penurunan 51.8 peratus iaitu 53 kematian dilaporkan pada 2018 dan 110 kematian pada 2017.

"Kami menjangkakan kes denggi akan meningkat pada penghujung tahun ini kerana faktor melancong dan musim hujan jadi langkah proaktif perlu diambil oleh semua pihak, " katanya.

Beliau berkata, pengambilan vaksin adalah langkah pencegahan awal dan langkah tambahan namun kebersihan dan kesedaran mengenai denggi perlu ditingkatkan bagi menurunkan kes dan kematian akibat denggi.

-- BERNAMA