Institut Kajian Keselamatan Jalan Raya (MIROS) melakukan kajian secara berterusan ke atas terhadap kualiti jalan raya terutama di kawasan kemalangan.

Ketua Pengarahnya, Prof. Dr. Wong Shaw Voon menjelaskan, kajian turut dilakukan bersama organisasi dan kementerian berkaitan.

"Sebenarnya (kajian) telah dan sedang dilakukan. Ia adalah satu kajian berterusan. Ia melibatkan kajian terhadap blackspot treatment iaitu penambahbaikan di tempat-tempat berbahaya. Apa yang kami lakukan itu bukan sahaja tunggu sampai orang mati (baru buat kajian)," katanya semasa dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.

Dr Shaw Woon mengulas kenyataan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai pada Jumaat yang mengarahkan MIROS dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) melakukan kajian kualiti jalan raya di kawasan kemalangan selain penelitian terhadap kecuaian manusia dan faktor fizikal jalan raya.

Dalam pada itu, MIROS akan mendedahkan keputusan pertama bagi International Road Assessment Programme (IRAP) termasuk melibatkan blackspot treatment yang akan dilancarkan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai pada Isnin ini.

"Tempoh kajian yang dibuat MIROS itu akan diberitahu pada Isnin ini. MIROS membuat kajian ke atas blackspot treatment dari semasa ke semasa supaya kawasan berbahaya itu ditambahbaik," jelasnya.

Selain MIROS, pelancaran IRAP Isnin ini akan turut melibatkan Kementerian Kerja Raya, dan Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM).

Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ini mendedahkan jumlah kemalangan jalan raya seluruh negara meningkat kepada 17,147 kes setakat 11 hari pelaksanaan Op Selamat berbanding 15,527 kes bagi tempoh sama tahun lepas.