Satu kajian menyeluruh perlu dilaksanakan sebelum sebarang mekanisme cukai baharu diperkenalkan dalam Bajet 2019 sebagai aliran hasil baharu yang berpotensi, kata seorang pakar ekonomi.

Dalam membuat saranan itu, Ketua Pakar Ekonomi Alliance Bank Malaysia Bhd, Manokaran Mottain berkata cukai baharu seperti cukai keuntungan modal akan menjejaskan pasaran modal.

Cukai keuntungan modal adalah cukai ke atas keuntungan modal atau keuntungan daripada jualan aset jenis khusus.

Keuntungan modal yang paling lazim direalisasikan adalah daripada jualan saham, bon, logam berharga dan hartanah.

"Apabila anda (kerajaan) mengenakan cukai itu di Malaysia, pengurus dana asing akan menjauhi pasaran ini.

"Kita tidak mempunyai pengurus dana tempatan yang kukuh untuk menyokong pasaran. Saya berpendapat, anda (kerajaan) perlu menjalankan kajian menyeluruh mengenai aspek ini, mungkin ia tidak perlu diperkenalkan sekarang, namun anda (kerajaan) boleh melaksanakannya pada tahun akan datang," katanya.

Manokaran berkata, beliau menjangkakan kerajaan tidak akan menaikkan cukai korporat kerana langkah itu akan menghalang pelaburan baharu.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah memberi petanda bahawa belanjawan kerajaan bagi tahun depan, yang akan dibentangkan pada 2 Nov ini, akan sederhana.

Bajet itu akan melibatkan banyak langkah seperti pembaharuan cukai memandangkan kerajaan berhasrat meningkatkan hasilnya.

Pada 2017, jumlah rasmi hutang kerajaan dan liabiliti luar jangka masing-masing pada RM686.8 bilion dan RM238.1 bilion.

Mengenai jangkaan Bajet 2019, Manokaran berkata kerajaan boleh menjimatkan sehingga RM3 bilion dalam peruntukan, dengan menumpukan untuk memberi manfaat kepada mereka yang benar-benar memerlukan daripada hanya merujuk kepada paras pendapatan semata-mata, serta menekankan kaedah untuk membantu rakyat, khususnya kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah.

Beliau berkata, kenaikan US$1 setong bagi harga minyak mentah Brent boleh membawa tambahan hasil RM300 juta dan anggaran tambahan hasil RM6.3 bilion kepada pendapatan kerajaan.

Antara Januari 2018 dan September 2018, harga purata minyak mentah Brent adalah pada US$73.1 setong.

Manokaran berkata, berdasarkan kutipan cukai pendapatan korporat lebih tinggi, hasil berkaitan minyak dan langkah rasionalisasi perbelanjaan kerajaan sehingga RM21.3 bilion atau lebih, kerajaan akan dapat memenuhi defisit fiskal 2.8 peratus yang disasarkan pada 2018.

-- BERNAMA