Kajian sama ada akan dikurangkan atau diberikan pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) ke atas beberapa jenis produk dijangka dapat disiapkan sepenuhnya menjelang akhir tahun ini, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata kajian tersebut perlu dilakukan secara mendalam dan menyeluruh oleh pihak Jabatan Kastam kerana implikasinya yang sangat luas.

"Ini kerana implikasi rangkaian ke atas produk-produk lain adalah sangat mendalam," katanya kepada pemberita semasa sidang media sebelum sesi Taklimat SST Bersama Menteri Kewangan di sebuah hotel di sini malam tadi.

Guan Eng berkata bahawa kerajaan akan terus mendengar cadangan dan pandangan rakyat mengenai SST dalam usaha meningkatkan keberkesanan pelaksanaannya yang dikuatkuasakan sejak 1 Sept lepas.

Menurut beliau, kajian termasuk mengenal pasti jenis produk yang boleh dikurangkan dan dikecualikan daripada cukai seperti mana dilakukan terhadap cukai tayar celup yang telah diturunkan kepada lima peratus daripada kadar asal 10 peratus.

Beliau juga menyatakan bahawa motosikal 250cc ke bawah dikecualikan daripada SST, manakala cukai terhadap aksesorinya juga diturunkan dari 10 peratus ke 5 peratus.

Guan Eng sekali lagi mengulangi bahawa SST lebih mesra rakyat berbanding GST dan berkata ia adalah sistem percukaian yang lama tetapi diperbaiki skopnya di mana lebih banyak jenis barangan dan perkhidmatan yang dikecualikan daripada cukai.

Ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan pelaksanaan SST sejak lima hari lalu, beliau berkata tidak 100 peratus tetapi memberi jaminan bahawa ia akan terus ditambah baik.

Mengenai pelantikan pegawai khas untuk SST di setiap negeri seperti yang beliau cadangkan, Guan Eng berkata mereka akan dilantik dari kalangan pegawai Kastam yang berpengalaman luas mengenai SST, di samping pengarah Kastam Negeri.

Katanya, pegawai terbabit akan bertindak sebagai jurucakap untuk memberi penerangan mengenai SST.

-- BERNAMA