Kaki murid tahun enam yang putus susulan kemalangan tragis di Kampung Tok Dor, Hulu Terengganu pada Isnin, gagal disambung.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, DSP Mohd Adli Mat Daud berkata, bagaimanapun murid Sekolah Kebangsaan Peroh itu kini dilaporkan dalam keadaan stabil.

Menurut Mohd Adli, mangsa dan bapa saudaranya Samri Said, 52, kini telah dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.

“Mangsa pelajar sekolah yang berusia 12 tahun, keadaan beliau stabil walau bagaimanapun cubaan untuk menyambung semula kaki yang terputus tidak dapat dijalankan.

“Dimana kaki tersebut telah diserahkan kepada waris untuk dikebumikan pagi tadi manakala penunggang motosikal masih lagi dirawat di hospital dan dijangkakan bahagian kaki kanan juga akan dipotong akibat kecederaan yang parah,” katanya.

Dalam kemalangan kira-kira jam 7.30 malam itu seorang murid tahun enam putus kaki kanan selepas motosikal yang dinaikinya bertembung dengan sebuah kereta.

Insiden berlaku di kilometer 46 Jalan Kuala Terengganu-Bukit Besi berhampiran Kampung Tok Dor, Hulu Terengganu pada Isnin.

Kejadian itu menyebabkan mangsa Muhammad Zulhaikal Mohammad, 12, hilang kaki kanannya.

Kemalangan itu dipercayai berlaku selepas Toyota Vios yang dipandu seorang lelaki dari arah Bukit Besi menghala ke Ajil dikatakan cuba memotong sebuah kenderaan.

Bagaimanapun sejurus tiba di lokasi kejadian, kenderaan itu telah bertembung dengan motorsikal jenis Suzuki yang dinaiki tiga mangsa dari arah bertentangan.