Seorang kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu kerana memperdaya penerima bantuan JKM.

Tertuduh Mohd Ayub Ab Halim, 34 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga pembantu pembangunan masyarakat telah meminta wang sebanyak RM450 daripada penerima bantuan Sylvian Irmn Dewoll atau Abdul Rahman.

Perbuatan itu dilakukan di Kampung Duyong Besar pada 29 Oktober 2017 sebagai alasan pihak JKM telah melakukan kesilapan iaitu memberi lebihan wang walhal ianya tidak berlaku.

Bagaimanapun mangsa telah menyerah wang sebanyak RM200 kepada tertuduh bagi menyelesai masalah kesilapan tersebut.

Wang yang diterima mangsa adalah benar dan tidak ada kesilapan yang berlaku bagi pihak JKM berkenaan pembayaran itu.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan selama tempoh lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dan menetapkan 10 April bagi sebutan semula kes.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amer Abu Bakar Abdullah.