Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan kegembiraan Rozita Paiman, 30, apabila suaminya Mohd Syamizar Mohamad Yahya, 35, dikunjungi Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Shaharuddin Khalid pada Isnin.

Menurut Rozita, dia tidak menyangka suaminya yang kehilangan sebahagian tempurung kepala dan kini terlantar, mendapat bayaran wang persaraan setiap bulan.

Menurutnya, Mohd Syamizar yang merupakan kakitangan JPJ di Kuala Kubu Selangor telah terlibat dengan nahas jalan raya semasa pulang dari tempat kerjanya dengan menaiki motosikal, dua tahun lalu.

Akibat kemalangan itu, suaminya kini tidak boleh bergerak dan bergantung sepenuhnya kepada susu formula khas yang dimasukkan melalui tiub hidung.

“Bantuan peralatan pemulihan sebanyak RM13,000, bekalan lampin pakai buang dan susu formula khas telah diberikan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pada tahun lepas.

“Selain itu, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Kulai tampil salur bantuan susu formula. Dianggarkan 15 tin susu formula khas diperlukan setiap bulan,” katanya.

Rozita kini menjaga suaminya sepenuhnya masa dan pasangan itu turut mempunyai seorang anak, Dhia Nur Iriesya Airis, 1.

Jelas Rozita, dia amat bersyukur di atas keprihatinan JPJ dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meluluskan bayaran pencen bulanan kepada suaminya.

“Selepas tamat belajar di Politeknik Port Dickson pada 2005, suami bekerja sementara di Kilang Perodua di Rawang dan seterusnya berkhidmat sebagai kakitangan JPJ.

“Namun segalanya berubah selepas dia terlibat dalam kemalangan. Saya reda dengan ujian ini dan mahu di samping suami menjaganya sehingga akhir hayat,” katanya.

Sementara itu, Shaharuddin berkata, bayaran pencen bulanan sebanyak RM470 diberikan kepada Mohd Syamaizar yang telah berkhidmat selama 9 tahun di JPJ.

Katanya, JPJ akan terus memberikan bantuan kepada Mohd Syamaizar memandangkan dia kini terlantar dan amat memerlukan bantuan.