'Kalau kau tak bagi duit, aku ambil pisau aku bunuh kau' - Penganggur didakwa ugut bunuh ibu

'Kalau kau tak bagi duit, aku ambil pisau aku bunuh kau' - Penganggur didakwa ugut bunuh ibu
Tertuduh, Muhammad Nurahaddin Md Dali, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim. - Astro AWANI
MELAKA: Seorang pemuda dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan mengugut untuk membunuh ibu kandungnya selepas dipercayai gagal mendapatkan sejumlah wang yang dimahukannya, Julai lalu.


Tertuduh, Muhammad Nurahaddin Md Dali, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim.


Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menakutkan secara jenayah dengan berkata “Kalau kau tak bagi duit yang aku nak tu, aku ambil pisau aku bunuh kau” terhadap ibunya yang berusia 56 tahun. 


Kesalahan itu dilakukan di tempat ibunya bekerja di hadapan pos pengawal sSkolah Kebangsaan Tambak Paya, Tiang Dua, Melaka sekitar 11.40 pagi, pada 2 Julai lalu.


Tertuduh yang tidak bekerja itu didakwa mengikut seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali.


Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Pegawai Pendakwa ASP Nora Yaacob mencadangkan jaminan sebanyak RM5,000 sebelum tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jumlah jaminannya dikurangkan.


Muhammad Nazrin pada penghakimannya kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dan menetapkan 27 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.


Tag: mahkamah, bunuh, jenayah, Pemuda, penjara, Mahkamah Majistret, ugut bunuh ibu



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.