Kalau Majlis Presiden PH nak saya pergi, saya akan pergi - Dr Mahathir

Firdaus Azil
Januari 14, 2020 04:10 MYT
DR MAHATHIR: Ini akan ditentukan oleh empat parti komponen PH secara bersama. - Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini sekali lagi menegaskan, kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri akan ditentukan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).
Katanya, sekiranya Majlis Presiden PH mencapai kata persetujuan untuk beliau berundur, beliau tidak akan membantah.
“Saya rasa ini akan ditentukan oleh empat parti (komponen PH) secara bersama. Sama ada mereka mahu saya pergi atau tidak.
"Pada saya, jika mereka mahu saya pergi, saya akan pergi,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Forum Integriti Bank Rakyat 2020, di sini, hari ini.
Pada Isnin, beberapa ahli PKR dilaporkan menggesa agar dipercepatkan peralihan kuasa Perdana Menteri pada Mei ini, bagi memberi lebih masa kepada presiden parti Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melaksanakan reformasi pentadbiran negara.
Mengenai rombakan kabinet, Dr Mahathir berkata, perkara itu juga harus mendapat persetujuan komponen PH, termasuk rakan sekutu mereka Parti Warisan Sabah.
“Sebagai Perdana Menteri, saya harus berurusan dengan lima parti. Rombakan bukan mudah, kerana ia bukan sahaja perlu diterima kami (Parti Pribumi Bersatu Malaysia), tetapi juga parti yang lain,” katanya lagi.
#ahli PKR #Anwar Ibrahim #integriti #kabinet #Mahathir Mohamad #Pakatan Harapan #parti komponen #Parti Pribumi Bersatu Malaysia #Parti Warisan Sabah #pentadbiran negara #peralihan kuasa #Perdana Menteri #PKR #presiden #rakyat #reformasi #rombakan kabinet