Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan bahawa kejayaan seseorang bukan kerana bangsa, tetapi budaya serta pegangan nilai hidup.

Katanya, selagi orang Melayu dan bumiputera tidak tukar cara kerja dan pegangan hidup, selagi itu kita akan terus gagal.

Jelas beliau, bukan sahaja gagal, kehidupan rakyat Malaysia terus dilemahkan lagi dengan pengenalan cara mudah untuk dapat duit.

"Kerajaan kumpul wang dan beri percuma kepada rakyat dalam bentuk BR1M, upah untuk nelayan tak tangkap ikan dan sebagainya.

"Semua ini melemahkan, kerana kita perlu berusaha kuat untuk sara kehidupan, sebaliknya kita menunggu-nunggu wang datang bergolek," katanya ketika menyampaikan ucapan merasmikan Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018.

Beliau pada masa sama mengingatkan bahawa manusia dijadikan Tuhan untuk berusaha bagi kekal sihat dan kuat.

"Kalau kita selalu guna tubuh badan kita, maka ia akan jadi tegap dan sihat.

"Demikian juga dengan otak kita, kalau kita tak guna otak kita untuk mempelajari sesuatu, untuk membaca menulis untuk menyelesaikan masalah, maka dia akan jadi lemah dan tidak berupaya untuk menggunakan akal fikiran untuk melawan nafsu umpamanya," katanya lagi.