Kali pertama jumpa, Stephen sangka saya pembaca berita - Mazlan

Kali pertama jumpa, Stephen sangka saya pembaca berita - Mazlan
Mazlan berkongsi mengenai pertemuan pertamanya dengan Stephen Hawking, serta menyifatkan mendiang seorang saintis yang kritis dan bersemangat tinggi. Facebook U.S. Embassy Kuala Lumpur
KUALA LUMPUR: Pertama kali bersua muka dengan mendiang Stephen Hawking pada 1994, ahli astrofizik pertama Malaysia, Prof Emeritus Datuk Dr Mazlan Othman, berasa sangat berdebar.

Ketika itu, mereka sama-sama menghadiri sebuah majlis di Malaysia dan Mazlan terkenang beliau amat mengagumi semangat tinggi saintis terkemuka itu sebagai seorang intelektual yang tersohor.

"Perkara pertama yang keluar dari mulutnya ketika melihat saya adalah, kamu kelihatan seperti salah seorang pembaca berita di salah sebuah stesen televisyen di United Kingdom.

“Jadi, perbualan kami bermula normal, sebelum masuk kepada topik lain,” kata Mazlan yang jelas berasa lega perbualan mereka berjalan lancar dengan sapaan ringkas Stephen itu.

Mazlan berkata demikian kepada Astro AWANI, mengimbau kenangan bersama Stephen yang meninggal dunia pada usia 76 tahun hari ini.


Dunia hari ini kehilangan seorang intelektual yang telah banyak menyumbang kepada kemajuan ilmu sains.

Kematian Stephen bukan sahaja dirasai masyarakat dunia malah para saintis di serata negara.

“Saya berasa sangat sedih dan saya akan sentiasa merindui untuk membaca tentangnya. Kini, beliau sudah menjadi satu sejarah kepada kita semua. Saya pasti akan terkenangkannya.

“Beliau akan kekal menjadi seorang intelektual yang tersohor dan disegani bukan sahaja dalam diri saya tetapi kehidupan orang lain juga,” luahnya.

BACA: Hidap ALS, Stephen Hawking sebenarnya dijangka mati 55 tahun lalu 

Menyentuh isu semasa, khususnya berkaitan perubahan iklim tidak menentu yang dialami ketika ini, Mazlan berkata anak muda perlu sedar akan kepentingan ilmu sains.

“Sains merupakan asas kepada satu pemahaman, tidak kira apa jua keadaan kamu kerana sains bukan sahaja berkaitan fizik, kimia dan biologi tetapi ia satu kaedah bagi semua subjek, seperti asas logik.

“Jadi, asas logik ini yang akan membantu menyelesaikan masalah. Justeru, anak muda perlu sedar bahawa sains adalah satu pendekatan kepada pemikiran yang rasional dan saintifik,” ujar lagi.

Stephen yang dilahirkan pada 8 Januari, 1942 di Oxford telah menghidap Amyotrophic Sclerosis (ALS) pada 1963 ketika berusia 21 tahun, yang mengakibatkan beliau lumpuh dan sukar bergerak.

Selain itu, kisah suka duka beliau pernah disingkap dalam sebuah filem 'The Theory of Everything' sebelum menerima lima pencalonan Oscar pada 2015.