Peguam Mohd Haniff Khatri Abdulla dan Muhammad Rafique Rashid Ali menafikan mereka mewakili kumpulan perusuh di kuil Sri Maha Mariamman di USJ25, Subang Jaya, Selangor awal minggu ini.

Sebaliknya, Haniff menegaskan mereka merupakan peguam rasmi yang dilantik syarikat pemaju One City Development Sdb Bhd berhubung isu kekecohan tersebut.

“Ia adalah salah faham menyatakan kami mewakili kumpulan perusuh. Kami adalah peguam rasmi yang dilantik One City untuk dua pegawai kanan dan seorang pekerjanya yang ditahan,” katanya dalam satu sidang media di pejabatnya di Petaling Jaya hari ini.

Beliau berkata syarikat pemaju One City melantik mereka pada malam pertama selepas kekecohan berlaku di kuil tersebut iaitu pada hari Isnin lepas.

“Saya kena tegaskan ini, kami mewakili pekerja One City yang tidak semestinya berada di tempat rusuhan malam itu.

“Dan tugas kami adalah mewakili One City dan melindungi kepentingan mereka sebagai anak guam.

“Kami juga membantu anak guam kami untuk berdepan dengan siasatan polis, dan menasihati dari sudut perundangan.”

Haniff mewakili dua orang pegawai kanan pemaju itu dimana katanya tempoh tahanan reman mereka dipanjangkan sehingga Sabtu ini.

Manakala Muhammad Rafique mewakili seorang pekerja One City yang dijangka akan tahan reman sehingga hari ini.

Oleh itu, Muhamad Rafique meminta pihak lain tidak menyebarkan maklumat tidak benar dan menyerahkan pada pihak polis.

“Biar pihak polis disiasat, siapa pun sebenarnya diberi peluang dan hak untuk membela diri.”

Pada masa sama Haniff turut membidas pihak yang menuduh dan menyebarkan cerita tidak benar.

Beliau merujuk kepada dakwaan bloger Raja Petra Kamaruddin dalam laman Facebook berkata perdana menteri berkongsi peguam dengan kumpulan perusuh.

“Ini semua tidak benar, kami akan membuat laporan polis,dijangka pada minggu depan.”