"Saya redha, tapi janganlah hukum kami suami isteri seperti kami tidak tahu jaga anak!"

Itu luahan Muhammad Redzuan Moktar Ali, bapa kepada Aqil Rayyan, dua tahun, yang meninggal dunia semalam setelah kritikal sejak Jumaat lepas.

Aqil merupakan anak bongsu daripada dua beradik yang ditemui lemas di sebuah kolah di kediaman datuknya di Kawasan Perindustrian Ringan Maju, Jelapang, pada 16 Feb lalu.

Muhammad Redzuan, ketika dihubungi Astro AWANI berkata, anak keempatnya itu menghembuskan nafas terakhir pada 12.16 tengahari semalam di pangkuannya sambil disaksikan ahli keluarganya di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini.

"Aqil pergi dalam pangkuan saya…saya redha dengan pemergian anak saya. Saya membuat keputusan untuk membuka sokongan pernafasannya setelah diberitahu doktor bahawa otaknya telah mencapai kerosakan yang tidak boleh dipulih.

"Sebenarnya, saya bercadang untuk melakukannya Selasa lalu namun adik-beradik dan saudara-mara merayu kepada saya agar mereka dapat melihat Aqil buat kali terakhir," ujarnya sebak.

BACA: "Malam tu Aliff peluk erat mak dia, tak nak lepas" - Bapa mangsa lemas kolah

BACA: Abang maut, adik kritikal jatuh dalam kolah

Menurut beliau, jenazah Aqil selamat dikebumikan bersebelahan dengan pusara abangnya, Aliff Rizqi, empat tahun, yang terlebih dahulu menemui ajal Jumaat lepas akibat insiden sama.

Aqil dikebumikan sambil disaksikan keluarga dan saudara-mara di Tanah Perkuburan Islam Gurap, Jalan Kuala Kangsar setelah disembahyangkan di Surau at-Taqwa, Puncak Jelapang Maju semalam.

Sementara itu, Muhammad Redzuan yang merupakan seorang Sarjan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) meminta orang ramai supaya tidak mengecam dirinya dan isterinya.

Katanya, beliau sedih apabila orang luar menyalahkan dirinya serta isteri malah turut mempersoalkan cara mereka menjaga dua anak kecil itu.

"Sebak, sedih, ada yang tergamak memberi komen seperti 'tak pandai jaga anak', 'pandai lahirkan anak saja' dan 'mak ayah buat apa?'

"Tak kena batang hidung sendiri, tak tahu….apa perasaan isteri saya yang mengandungkan kedua-dua anak lelaki saya melihat komen sebegitu, sampai hati mereka," katanya hiba.

Menurutnya, Jumaat lalu merupakan kali pertama kedua-dua beradik itu keluar daripada kawasan rumah.

"Ada orang cuba mengatakan ibu dan ayah saya tidak menjaga mereka. Bayangkan perasaan mereka... ayah saya baru sahaja selesai menjalani rawatan jantung di Institut Jantung Negara baru-baru ini.

"Sewaktu Aqil pergi... cucu kesayangannya... dia merayu untuk dukung Aqil, menatap wajah anak keempat saya itu buat kali terakhir, macam itu sekali sayangnya nenek dan datuk mereka kepada mereka," katanya lagi.

Jelasnya, Aqil dan Aliff dijaga dengan baik oleh kedua ibu bapanya sewaktu dia pergi bekerja namun masih ada pihak mempertikaikan perkara tersebut.

"Saya tak marah, cuma saya sedih kerana tanpa menyelami perasaan kami, kami dipersoal, dicerca sedangkan kami baru sahaja kehilangan dua orang anak.

"Saya harap tragedi ini tidak akan kena pada orang lain," katanya lagi.