Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ismail Bakar menafikan dakwaan kononnya Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) mensabotaj pegawai kerajaan yang dilantik oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

"Kami tidak sabotaj kerajaan," katanya dalam Twitter dan turut memaparkan sebuah laporan berita akhbar tempatan hari ini.

Dalam respons kepada laporan itu, Ismail berkata SPA sebaliknya memperbetulkan pelanggaran prosedur pengambilan oleh pentadbiran Barisan Nasional sebelum ini dan mematuhi prosedur ditetapkan oleh kerajaan baharu untuk membersihkan proses lantikan politik.

Beliau turut menyangkal dakwaan yang menyatakan kerajaan mengikuti panduan pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) 2012 berhubung perkara berkaitan jawatan dan perkhidmatan di pejabat menteri dan timbalan menteri.

Media tempatan melaporkan, SPA dan JPA dilaporkan tidak mengikut arahan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan mensabatoj pegawai yang baru dilantik oleh kerajaan baharu dengan memberikan mereka gred dan gaji lebih rendah.

Pada 3 Ogos, dilaporkan sejumlah besar lantikan politik, termasuk setiausaha politik, setiausaha akhbar, pegawai tugas-tugas khas dan pegawai khas, masih belum menerima gaji mereka bagi tempoh lebih dua bulan.

-- BERNAMA