Kampung Tanjung memerlukan lokasi pengumpulan sampah yang lebih tersusun dan bukan bersebelahan gelanggang untuk penduduk beriadah.

Bekas Ketua Kampung Tanjung, Jasni Suman memberitahu, tempat baru itu dipindahkan kontraktor sampah daripada lokasi sebelumnya di pinggir kampung.

Jelasnya, lokasi lama difahamkan tidak sesuai kerana berkongsi tempat pengumpulan sampah dengan kampung dan taman perumahan bersebelahan.

"Lokasinya masih lagi di sana, tiada tempat baru. Keadaannya amat sedih sekali, di tepi gelanggang kanak-kanak bermain.

"Memang tidak sesuai sangat-sangat dan ia di depan mata, orang yang hendak masuk Kampung Tanjung ini pasti nampak tempat sampah ini.

"Orang mesti tanya tiadakah tempat yang sesuai, orang yang berkenaan mesti bertanggungjawab, ini tengoklah tempat ini berterabur," katanya ketika ditemui di sini, pada Jumaat.

Jelasnya, bantahan sudah dibuat namun tidak mendapat sebarang maklum balas sehingga hari ini.

Walaupun mungkin ia isu kecil kata Jasni, kesannya amat besar kepada pandangan serta memberi risiko kesihatan kepada penduduk setempat.

Jasni menjadi Ketua Kampung Tanjung sejak pada 2003 sehingga 2018.

Sebanyak 160 rumah terdapat di kampung tersebut yang mempunyai kira-kira 200 keluarga dan 1,000 orang penduduk.

Penduduk asal Kampung Tanjung merupakan dari suku kaum Minangkabau dan Boyan namun kini semakin berkurangan kerana kebanyakan rumah sudah disewakan kepada pekerja kilang di Beranang dan Bangi.