Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun ditemui lemas ketika mandi di Sungai Perak, berhampiran rumahnya di Kampung Masjid Pulau Tiga Kiri, Kampung Gajah dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Supt Mohamad Zainal Abdullah berkata pada Rabu, sebelum kejadian, mangsa, Ahmad Salman Omar bersama seorang kawan dan ibunya telah pergi ke Sungai Perak pada jam 6 petang Selasa.

Katanya, sejam kemudian ibu mangsa balik ke rumah manakala mangsa dan kawannya terus mandi di sungai.

“Menyedari mangsa tidak balik ke rumah, pada jam 7.20 malam, bapa mangsa pergi mencari anaknya di sungai dan mendapati kawannya telah balik ke rumah.

“Bapa mangsa hanya jumpa kasut di atas tebing sungai dan dengan bantuan orang kampung, pencarian mangsa telah dijalankan,” katanya pada Rabu.

Menurut Mohamad Zainal, mangsa ditemui pada jam 8 malam tadi, 50 meter dari tempat kejadian.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat.