PEKAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun ditemui lemas selepas dipercayai mandi bersama dua rakannya di takungan air di Kampung Marhum, Kuala Pahang di sini, malam Isnin.

Mayat Muhammad Imanudin Mohd Jasmanizam, murid Tahun Lima Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Indera Shah Bandar di sini, ditemui pasukan penyelamat kira-kira jam 8.35 malam.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Mohd Razli Mohd Yusof, mangsa bersama dua rakannya dipercayai ke lokasi kejadian untuk mandi kira-kira jam 5 petang.

"Kira-kira jam 7.30 malam, penduduk kampung melaporkan kehilangan seorang kanak-kanak dipercayai lemas dan cuba mencarinya di kawasan berkenaan sebelum menemui pakaian serta selipar dipercayai milik mangsa.

"Penduduk kampung menghubungi polis dan bomba untuk membantu usaha mencari dan menyelamat. Kira-kira jam 8.35 malam pasukan menyelamat menemui mayat mangsa yang terapung," katanya dalam satu kenyataan media di sini pada Selasa.

Beliau berkata, abang mangsa memberitahu, kanak-kanak berkenaan biasanya hanya bermain berhampiran rumahnya, namun keluar dengan rakannya sebelum kejadian itu.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pekan di sini untuk urusan bedah siasat," katanya.