Seorang kanak-kanak lelaki ditemui rentung selepas terperangkap dalam kebakaran di Kampung Melisau, Tenghilan, pagi tadi.

Dalam insiden yang berlaku kira-kira jam 5 pagi itu, mangsa, Joshua Patrick yang berusia empat tahun ditemukan di bilik mandi selepas gagal menyelamatkan diri dalam kebakaran berkenaan.

Abang mangsa, Shafiq Patrick, 6, pula melecur di bahagian kaki serta tangan manakala nenek mangsa,
Miti Diki, 64, turut cedera di bahagian lengan.

Kedua-dua mangsa bagaimanapun berada dalam keadan stabil selepas menerima rawatan di Hospital Tuaran.

Kedua-dua mangsa bagaimanapun berada dalam keadan stabil selepas menerima rawatan di Hospital Tuaran. - Foto JBPM

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, mayat mangsa sudah dibawa ke hospital berdekatan untuk tindakan lanjut.

"Rumah tersebut didiami seramai enam individu di mana ketika kebakaran salah seorang mangsa gagal untuk menyelamatkan diri.

"Mayat kanak-kanak lelaki berusia empat tahun itu ditemui di bilik mandi berhampiran ruang tamu rumah berkenaan," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Beliau menambah, siasatan awal kes itu diklasifikasikan sebagai kejadian mati mengejut.

Sementara itu, Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Khatizah Rahaban berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.06 pagi sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi untuk operasi pemadaman.

"Operasi terkawal pada jam 5.55 pagi dan tamat sepenuhnya pada jam 6.48 pagi tadi.

"Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat," katanya.