Seorang kanak-kanak lelaki dijumpai maut dalam parit di Jalan Padang Temusu, Kampung Padang Temusu, di sini, hari ini.

Dalam kejadian petang semalam, mangsa Muhamad Uwas Al-Hafiz Hamizal, 5, sedang bermain di lokasi dalam hujan lebat bersama abangnya sebelum mangsa yang berjalan di tebing parit tergelincir ke dalam parit lalu dibawa arus.

Mayat mangsa ditemukan jam 9.49 pagi oleh pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada hari kedua.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain, operasi disertai tujuh anggota dan dua jentera termasuk jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS).

"Sebaik mendapat maklumat, kami terus bergegas ke lokasi kejadian dan hasil siasatan awal mendapati mangsa bersama abangnya Muhammad Hadiz Hamizal, 10, bermain di sekitar kawasan itu sebelum terjatuh.

"Abang mangsa bagaimanapun sempat diselamatkan orang awam manakala mayat mangsa ditemukan kira-kira 1.4 kilometer dari tempat dia terjatuh," katanya, di sini, pada Isnin.

Beliau berkata mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut sebelum dihantar ke hospital.

Operasi turut dibantu Unit Anjing Pengesan K-9 dari Ibu Pejabat JBPM selain anggota dari BBP Tikam Batu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah mengesahkan kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk bedah siasat.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.