Seorang kanak-kanak berdepan detik ngeri apabila salah satu matanya tertusuk besi pemegang tayar ganti dalam kejadian di Jalan Bayam, di sini, malam tadi.

Mata sebelah kanan kanak-kanak berusia 10 tahun itu tertusuk besi berkenaan ketika cuba mengambil tayar ganti bagi membantu bapanya menukar tayar kereta kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Proton Exora kira-kira jam 8.30 malam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Zukeri Shafie berkata, pihaknya menerima panggilan berkenaan kejadian jam 8.54 malam tadi.

Katanya, operasi menyelamat diketuai Ketua Operasi Mohd Zaidi Yahya bersama sembilan anggota dan dua jentera iaitu satu jentera LFRT dan EMRS.

"Ketika tiba di lokasi, didapati kanak-kanak itu berada di bawah kereta, bahagian belakang, dengan keadaan salah satu matanya ditembusi hujung besi pemegang tayar ganti yang tumpul," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, bomba pada mulanya kelu melihat situasi cemas itu namun akhirnya bertindak memotong tapak besi berkenaan bagi mengeluarkan kanak-kanak terbabit.

Katanya, bomba terpaksa mengambil masa lebih kurang sejam bagi memotong besi itu secara berhati-hati dan membawa kanak-kanak itu ke hospital dengan keadaan besi itu masih melekat di dalam matanya.

Gambar ihsan pembaca.

Zukeri berkata, bomba menggunakan pemotong khas dan pencanai untuk memotong besi itu yang terletak di bahagian bawah kereta berhampiran ekzos.

Katanya, didapati hujung besi itu telah tertusuk ke mata kanak-kanak itu sedalam satu inci.

Beliau berkata, hasil maklumat awal, bapa kanak-kanak itu memberitahu dia bersama dua anaknya mahu menggantikan tayar kereta di bahagian hadapan bahagian penumpang sebelum kejadian itu berlaku.

"Mereka tidak sempat menukar tayar kereta kerana semasa kejadian bapanya berada di hadapan tayar, manakala anaknya, termasuk mangsa, cuba mengambil tayar kereta, namun secara tiba-tiba dia terkejut melihat anaknya sudah terperosok ke bawah kereta dengan keadaan matanya tertusuk besi pemegang tayar ganti," katanya.

Zukeri berkata, kanak-kanak itu dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu untuk rawatan lanjut.