Ngeri dan menakutkan apabila seorang kanak-kanak lelaki parah selepas bahu tertusuk sebatang kayu dalam satu kejadian di Kampung Terusan Tengah, Pulau Bum Bum, di sini, petang Jumaat.

Mangsa, Anuar Sali, 8 tahun dikejarkan ke Hospital Semporna sebelum dipindahkan ke Hospital Tawau (HT) untuk mendapatkan rawatan lanjut selepas kayu itu didapati menembusi bahu kirinya.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.09 petang dan bergegas ke HT bagi membantu memotong kayu berkenaan.

"Mangsa dilaporkan cedera parah apabila kayu berkenaan tertusuk ke bahu kiri," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pihak bomba kemudian memotong kayu itu dengan peralatan khas bagi memudahkan mangsa dipindahkan ke hospital berkenaan.