Jenazah kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang dipercayai didera fizikal dan seksual oleh penjaga dan suami penjaganya di sebuah rumah di Kandang, Melaka, selamat disemadikan.

Bayi malang itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Serkam, Merlimau, di sini, sekitar jam 11 pagi tadi.

Jenazah Adrena Nur Natasha yang selesai dimandi dan dikafan di Jabatan Forensik Hospital Melaka dituntut ahli keluarganya kira-kira jam 10 pagi sebelum dibawa ke Masjid Jamek Serkam untuk disembahyangkan.

Suasana pilu mengiringi ketibaan jenazah kanak-kanak malang itu di mana kira-kira 30 anggota keluarga hadir pada majlis pengebumian.

Semalam, Astro AWANI melaporkan, kanak-kanak perempuan itu disahkan meninggal dunia selepas dipercayai didera fizikal dan seksual oleh penjaganya dan suami penjaganya.

BACA: Budak dua tahun maut dipercayai didera fizikal dan seksual

Kanak-kanak itu terdahulu dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Melaka sekitar jam 2 pagi Selasa selepas tidak sedarkan diri.

Pegawai perubatan yang mengendalikan kes berkenaan cuba memberikan bantuan pernafasan (CPR) tetapi tidak berjaya dan mangsa disahkan meninggal dunia, selain terdapat kesan lebam di bahagian kepala dan paha.


Jenazah kanak-kanak itu disembahyangkan di Masjid Jamek Serkam. Foto Astro AWANI

Difahamkan, kanak-kanak perempuan yang sebelum ini sejak kecil dipelihara oleh ibu dan bapa saudaranya, baru dua bulan diserahkan kepada pasangan suami isteri penjaga itu.

Ia ekoran ibu dan bapa saudaranya terpaksa berada di Terengganu atas urusan kerja.

BACA: Pasangan dera budak 2 tahun hingga mati 'penyayang dan penyabar' - Jiran

Sementara itu, bapa saudara mangsa yang tidak mahu ditemu bual media enggan mengulas lanjut dan menyerahkan siasatan kepada pihak berkuasa.

"Tiada apa kenyataan saya boleh berikan. Mohon beri ruang kepada keluarga kami memandangkan siasatan polis pun masih berjalan.

"Lagi pun, pasangan suami isteri penjaga itu adalah saudara saya sendiri. Biarlah polis yang siasat," katanya ringkas.

Semalam, suspek pasangan suami isteri masing-masing berusia 45 dan 36 tahun itu ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.