Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang dipercayai mangsa dera kini berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Sebelum ini, kanak-kanak yang dipercayai warga asing itu ditemui oleh orang awam dalam kotak di Ampang Baru pada 30 Julai lepas.

Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Juita Ghazalie berkata, pihak hospital telah menjalankan pemeriksaan kesihatan dan menemui kesan penderaan pada badan kanak-kanak berkenaan.

Menurut beliau, kanak-kanak itu turut mengalami pendarahan serta pembengkakan otak dan pembedahan juga telah dijalankan untuk membuang darah beku dalam kepala.

"Bagaimanapun, sehingga hari ini (semalam), kanak-kanak itu masih belum sedarkan diri dan bernafas menggunakan alat bantuan pernafasan.

Kita turut memberi makanan dan minuman kepadanya melalui tiub," katanya dalam satu kenyataan semalam di sini.

Dalam perkembangan sama, Exco Kerajaan Negeri, Datuk Rusnah Kassim berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang laporan terperinci berhubung kes tersebut.

"Sekarang apa yang menjadi keutamaan adalah memberi rawatan kepada kanak-kanak itu sehingga sembuh.

"Pada masa sama, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan terus menjalankan pemantauan sehingga waris kanak-kanak terbabit berjaya dikesan," katanya lagi.

Sementara itu polis sedang mencari waris seorang kanak-kanak lelaki dipercayai berusia sekitar dua tahun yang ditemui ditinggalkan di dalam kotak di Ampang Baru pada 30 Julai lepas.

Kanak-kanak lelaki yang dipercayai warga asing itu ditemui dalam keadaan separuh sedar dengan beberapa kesan kecederaan di bahagian badan.

Sebelum itu, difahamkan terdapat satu panggilan telefon yang memaklumkan kepada rumah anak yatim berhampiran untuk mengambil kotak yang ditinggalkan di kawasan terbabit.

Sehubungan itu, jurucakap Bahagian Siasatan Seksual/Keganasan Rumahtangga/Penderaan Kanak-kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Asisten Superintendan Kamariah Jamaludin berkata, kanak-kanak itu ditemui oleh orang awam pada jam 1.30 petang di tepi Jalan Ampang Baru 6, Ampang Baru, di sini.

Menurut beliau, orang awam telah menyalurkan maklumat sejurus penemuan kanak-kanak tersebut kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Kanak-kanak itu kini mendapat rawatan di Unit Rawatan Rapi Kanak-kanak (PICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun.

"Oleh itu, pihak polis ingin memohon bantuan orang ramai untuk mengesan waris atau saksi yang mempunyai maklumat berhubung kanak-kanak terbabit untuk tampil membantu siasatan," ujarnya.

Kamariah berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah D11, Asisten Superintendan Kamariah Jamaludin di talian 016-524 9091 atau 05-245 1628/1629.