Seorang kanak-kanak lelaki cedera akibat ditikam seorang anggota keluarga yang mengamuk di sebuah rumah di Jalan Bayam di sini petang semalam.

Dalam kejadian 3.15 petang itu, Mohamad Danish Aidid Yahaya, 4, cedera di kiri dan kanan pinggang dan kini dalam keadaan stabil di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Baharu ACP Azham Othman berkata kejadian amuk itu berlaku selepas suspek berusia 44 tahun cuba mendapatkan kepastian berhubung duit bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diterimanya setiap bulan melalui akaun bapa mangsa.

"Suspek tidak dapat menerima jawapan bapa mangsa yang memberitahu duit terbabit belum dimasukkan ke dalam akaunnya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tidak puas hati dengan jawapan yang diterima, Azham berkata suspek tiba-tiba menjadi marah dan mengugut untuk menikam mangsa jika bapa mangsa tidak bercakap benar.

Azham berkata lelaki itu kemudiannya meluru ke dapur dan mengambil sebilah pisau lalu menuju ke arah kanak-kanak itu yang sedang bermain di belakang rumah dan menikam pinggang sebelah kiri mangsa.

"Selepas itu, suspek yang masih dalam keadaan mengamuk membawa masuk mangsa ke dalam rumah dan menikam pula bahagian kanan pinggang mangsa," katanya.

Katanya, bapa kanak-kanak itu menarik anaknya keluar dari rumah bagi menyelamatkannya sebelum meminta bantuan jiran untuk menghubungi ambulans.

Azham berkata suspek yang juga pengganggur ditahan semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.