Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun ditemukan mati lemas selepas terjatuh ke dalam longkang di hadapan rumah jirannya di Taman Agropolitan, dekat sini, petang semalam.

Mangsa Muhammad Hazim Rizqi Mohd Za'in dikatakan terjatuh ke dalam longkang sedalam satu meter ketika hujan lebat kira-kira jam 6.30 petang.

Mangsa kemudian dihanyutkan arus lalu tersekat pada dawai di hujung longkang sebelum ditemukan pada jam 7 malam.

Bapa mangsa, Mohd Za'in Alias, 39 berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh seorang anak jiran yang memberitahu Muhammad Hazim Rizqi terjatuh ke longkang lalu hanyut dibawa arus.

Katanya, ketika kejadian dia bersama isteri, Nor Azlidawati Ibrahim, 35, sedang membaiki kereta dan melihat anak kesayangannya itu bermain bersama empat lagi rakannya di tepi rumah.

"Saya tidak menyedari Muhammad Hazim Rizqi pergi ke kawasan rumah jiran sebelum terjatuh ke dalam longkang," katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini petang semalam.

Beliau berkata, Muhammad Hazim Rizqi merupakan satu-satunya anak lelaki bongsu pasangan tersebut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Abdullah Daud ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.