KUALA TERENGGANU:Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun meninggal dunia selepas terjatuh daripada tingkat 15 di sebuah rumah pangsa di Kuala Terengganu hari ini.

Kejadian berlaku di Flat Ladang Gemilang Satu, di sini kira-kira jam 4 petang pada Ahad.

Mangsa Mohamad Aryan Defa Danish Mohd Azizul dipercayai terjatuh menerusi tingkap dari bahagian ruang tamu kediamannya.

Ketika kejadian ibu kanak-kanak terbabit  dikatakan keluar untuk ke kedai berhampiran manakala mangsa sedang tidur.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi Astro AWANI mengesahkan kejadian.

Katanya mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut.

Sementara itu lapor Bernama, ibu mangsa, Nurul Amelia Ali, 34 berkata beliau keluar sebentar ke kedai bersama anak bongsunya yang berusia empat tahun manakala mangsa ditinggalkan kerana sedang tidur bersendirian di ruang tamu ketika itu.

"Sebelum saya keluar beli makanan tadi, dia sedang tidur, jadi saya buka televisyen sebab selalunya kalau terjaga pun, dia akan menonton kartun sementara menunggu saya pulang dari kedai.

"Dalam perjalanan pulang ke rumah tadi, saya terima panggilan telefon daripada suami yang memaklumkan tuan rumah menghubunginya mengenai insiden kanak-kanak terjatuh...namun ketika itu saya langsung tidak terfikir bahawa yang jatuh itu adalah anak saya," katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik HSNZ.

Nurul Amelia berkata beliau hanya menyedari kanak-kanak tersebut adalah anaknya apabila melihat pakaian mangsa.

Jenazah kanak-kanak itu akan dibawa balik ke rumah bapa Nurul Amelia di Kampung Batu Buruk, di sini untuk dikebumikan.