Setelah menjalani kehidupan dengan hanya sebelah tangan sejak lapan tahun lalu, seorang kanak-kanak dari Sungai Nibong Kecil, Bayan Lepas, kini mampu mengukir senyuman.

Muhammad Muqri Mifzal Rhemi Rizal, 8, yang dilahirkan tanpa jari pada tangan kirinya menerima sumbangan tangan bionik (mekanikal) daripada Sujana Mohd Rejab.

Sujana, 47, seorang bekas guru Bahasa Inggeris ahli persatuan antarabangsa inABLE yang membantu kalangan kurang upaya, berkata dia amat menyayangi kanak-kanak dan selalu memikirkan cara untuk membawa keyakinan kepada anak kecil yang cacat anggota seperti Muhammad Muqri.

Bapa Muhammad Muqri iaitu Rhemi Rizal, 40, berkata ketika anaknya dilahirkan dengan kecacatan pada tangan, dia berasa amat sukar untuk menerima takdir itu.

Namun, berkat sokongan ahli keluarga, dia berjaya mengatasi persepsi susulan kekurangan yang ada pada anaknya itu.

Rhemi Rizal berterima kasih kepada Sujana yang mendermakan tangan bionik itu kepada anaknya bagi membolehkan kanak-kanak itu menjalani kehidupan yang lebih selesa.

Sementara itu, Muhammad Muqri amat gembira dengan tangan baharunya itu dan tidak sabar untuk pergi ke sekolah untuk ditunjukkan kepada rakan-rakannya.

"Saya mempunyai tangan baharu sekarang, selepas ini saya boleh bermain bola, bermain dengan rakan-rakan saya," katanya tersenyum.

Sujana sebelum ini pernah mendermakan sebuah tangan bionik kepada kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun, Ainaa Amanda Shahzali.

Kos untuk membuat tangan bionik itu, kata Sujana, tidak sampai RM100 dan memerlukan masa kira-kira 20 jam dengan menggunakan mesin percetakan 3D.