Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut akibat dilanggar sebuah lori dalam kejadian di Taman Sahabat, Teluk Kumbar, Pulau Pinang malam tadi.

Mangsa meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Balik Pulau selepas akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan kaki.

Mangsa bersama beberapa kanak-kanak lain dikatakan sedang bermain kejar-mengejar semasa kejadian berlaku kira-kira jam 11 malam itu.

Lori tersebut, yang membawa muatan ikan, gagal mengelak lalu melanggar mangsa yang secara tiba-tiba berlari ke tengah jalan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, DSP Jafri Mohd Zain berkata, siasatan polis mendapati kejadian dipercayai berlaku apabila kanak-kanak terbabit melintas jalan secara tiba-tiba sebelum dirempuh lori berkenaan.

Tambahnya, polis juga telah menahan pemandu lori berusia 32 tahun untuk tindakan lanjut.

Lelaki berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dan ujian air kencing ke atasnya juga negatif.

Kes disiasat di dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.