Seorang kanak-kanak 11 tahun maut selepas dipercayai terbelit kain pengikat langsir di rumahnya di Taman Belimbing di Jitra, pada Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang, Muhammad Nur-Eman Al-Rahdie Noreffendi sedang bermain dengan dua adiknya berusia 7 dan 10 tahun di dalam sebuah bilik.

Mangsa yang merupakan murid Tahun 5 Sekolah Kebangsaan Malau dikatakan bermain dengan kain pengikat langsir yang disangkut pada hujung buaian spring bayi.

Muhammad Nur-Eman dipercayai meletakkan leher pada kain tersebut sebelum didapati tidak sedarkan diri dalam keadaan mulut berbuih.

Adiknya yang menyedari kejadian tersebut memaklumkan kepada ibu bapanya yang sedang berehat.


Bapa mangsa kemudiannya sempat membuat bantuan penafasan namun tiada tindak balas positif dan mangsa seterusnya dikejarkan ke Hospital Jitra.

Bagaimanapun, setibanya di sana, kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Deputi Superintenden Chein Chung Tsaur megesahkan kejadian.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.