Seorang kanak-kanak lelaki orang kelainan upaya (OKU) berusia 9 tahun maut selepas terjatuh dari tingkat 4 dalam kejadian di Flat Taman Limau Manis, Bukit Mertajam.

Dalam kejadian jam 9.20 pagi Sabtu, mangsa S.Raajveer ditemukan di lantai bawah flat itu oleh orang awam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid berkata mangsa dipercayai terjatuh selepas memanjat tingkap di bahagian dapur.

Ibu bapa mangsa dikatakan tidak menyedari kanak-kanak itu memanjat tingkap yang tidak mempunyai jeriji keselamatan berdekatan sink.

Ibu saudara mangsa yang kebetulan ternampak mangsa di tingkap seolah mahu terjun tidak sempat untuk menyelamatkannya.

Nik Ros Azhan berkata mangsa seorang OKU mental sejak lahir dan merupakan anak sulung daripada tiga adik-beradik.

Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.

Nik Ros Azhan berkata pihak polis sudah merakam percakapan ahli keluarga mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai Mati Mengejut (SDR).