Seorang kanak-kanak perempuan berusia satu tahun enam bulan lemas selepas terjatuh ke dalam sebuah kolam ikan di Kampung Bukit Merah, Bandar Paka, di sini, petang semalam.

Mangsa Nur Ara Raisha Abdul Aziz, ditemui terapung di dalam kolam tersebut sekitar jam 5.15 petang pada jarak 15 meter dari lokasi kejadian.

Ketika kejadian, kanak-kanak tersebut tinggal bersama bapanya, manakala ibunya sedang berniaga santan segar di Pasar Bandar Paka.

Menurut Abdul Aziz, ketika kejadian dia sedang membaiki radio keretanya manakala anaknya itu sedang bermain di bahagian belakang tempat duduk penumpang.

Katanya, dia hanya menyedari kehilangan anaknya itu selepas melihat mangsa tiada di tempat duduk belakang sebelum mencarinya di sekitar kawasan rumah.

"Mula-mula dia ada di sebelah saya. Kemudian dia lompat ke belakang dan bermain dengan sepupu-sepupunya.

"Kemudian, dia turun masa mana, saya tak perasan. Dalam masa seminit selepas itu, saya mula cari. Saya cari di kawasan rumah, tak jumpa. Ambil masa kira-kira dalam setengah jam juga mencarinya.

"Abang ipar balik dari kerja, dia cari di kolam dekat rumah, dia terjumpa. Dia nampak kakinya, dia pun angkat, terus bawa pergi ke klinik," katanya.

Menurut Abdul Aziz, anaknya dibawa ke Klinik Kesihatan Paka untuk diberi rawatan kecemasan sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 6.20 petang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan kejadian tersebut.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai mati lemas.