Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun maut selepas terjatuh dari tingkat empat kediamannya di sebuah kuarters di Gombak pada Selasa.

Menurut Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe, kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang ketika pengadu yang juga ibu mangsa pulang dari bekerja.

Pengadu mendapati dua anak perempuannya masing-masing berusia tiga dan enam tahun dalam keadaan terbaring di kawasan lapang tingkat bawah kuarters itu.

Kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan, namun mangsa berusia tiga tahun meninggal dunia manakala kakaknya berusia enam tahun mengalami patah tangan dan kaki.

Siasatan awal mendapati, pengadu telah meninggalkan kedua-dua anaknya bersama suami ketika pergi bekerja pada hari yang sama.

Bagaimanapun suami mangsa dikatakan telah keluar sebentar dan meninggalkan kedua anaknya di dalam rumah sebelum kejadian.

Kes disiasat dibawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.