Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun setengah kini berada dalam keadaan kritikal kerana mengalami pendarahan otak dipercayai akibat didera ibu kandung dan teman lelaki ibunya.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Goh Kok Liang berkata kedua-dua suspek yang tinggal di Hutan Melintang dekat Teluk Intan, masing-masing berusia 20 dan 26 tahun telah ditahan reman sejak Isnin lepas untuk siasatan.

"Semasa dibawa ke Jabatan Kecemasan di Hospital Tengku Ampuan Jemaah, Sabak Bernam, Selangor, pukul 5 petang Isnin lepas, kanak-kanak itu didapati tidak bergerak, mata dalam keadaan terbuka dan pernafasan tidak teratur," katanya kepada pemberita di Ipoh, Rabu.

Beliau berkata selain itu pemeriksaan perubatan juga mendapati banyak kesan lebam dan calar di bahagian tangan, belakang badan dan muka di samping benjol pada bahagian kiri kepala kanak-kanak itu.

Pegawai perubatan mengesyaki kanak-kanak malang itu telah didera sebelum bertindak menghantar mangsa ke Hospital Sungai Buloh, Selangor untuk pemeriksaan lanjut, katanya.

Goh berkata pemeriksaan lanjut doktor di hospital itu mengesyaki mangsa yang kini ditempatkan di wad High Dependency Unit, mengalami pendarahan otak.

Beliau berkata siasatan awal mendapati ibu kanak-kanak itu tidak bekerja manakala teman lelakinya hanya menjalankan kerja-kerja kampung.

"Kedua-dua suspek yang ditahan di Hospital Sungai Buloh itu telah mengaku sering memukul mangsa yang merupakan anak tunggal wanita terbabit," katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.