Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun cedera parah di kepala dipercayai selepas terjatuh dari tingkat tujuh sebuah pangsapuri Perumahan Penjawat Awam di Presint 14 di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Abdul Razak Abdul Majid berkata kejadian berlaku kira-kira 3 petang tadi ketika mangsa dan seorang ibu saudaranya mahu menaiki lif untuk ke tingkat tujuh pangsapuri berkenaan.

"Berdasarkan maklumat awal, kanak-kanak itu terlebih dahulu memasuki lif tanpa ibu saudaranya dan sebaik pintu lif tertutup, ibu saudara mangsa mengejar mangsa menggunakan tangga. Namun, apabila tiba di tingkat tujuh, kanak-kanak itu sudah terjatuh," katanya ketika dihubungi pemberita, Sabtu.

Abdul Razak berkata pihaknya bagaimanapun masih belum menerima sebarang laporan rasmi berhubung kejadian itu.

Difahamkan, mangsa kini dirawat di Hospital Serdang.

Sementara itu seorang penduduk yang menghuni tingkat tiga pangsapuri sama berkata beliau terdengar bunyi kuat seperti benda jatuh ketika berada di dalam rumah namun, tidak mempedulikan bunyi itu kerana mengganggapnya perkara biasa.

"Saya fikir kemungkinan ada orang membuang sesuatu ke bawah sehinggalah kira-kira sejam selepas itu apabila anak saya maklumkan ada kanak-kanak terjatuh dari tingkat tujuh," katanya yang enggan dikenali.