Kanak kanak tanpa kerakyatan yang ingin belajar di sekolah kerajaan perlu mengikut operasi prosedur standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM), kata Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching.

Beliau berkata bagaimanapun kementerian itu menyambut baik usaha kerajaan Perak yang telah mewujudkan sebuah jawatankuasa bagi membantu kanak-kanak berkenaan mendapat pendidikan di sekolah-sekolah kerajaan.

"Saya belum berjumpa lagi dengan jawatankuasa tersebut tetapi mereka perlu mengikut garis panduan ditetapkan seperti kanak-kanak itu perlu memiliki sijil kelahiran yang menunjukkan ibu atau bapanya warganegara Malaysia.

"Ataupun kanak-kanak itu memiliki perintah dari mahkamah untuk diterima belajar masuk ke sekolah," katanya pada sidang media selepas melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Marian Convent di sini yang jerjejas oleh kejadian ribut Ahad lepas.

Beliau mengulas lanjut ketika ditanya pemberita berhubung kenyataan Pengerusi Jabatan Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri Dr Abdul Aziz Bari baru-baru ini yang telah memulakan projek perintis bagi membantu kanak-kanak berkenaan ke sekolah kerajaan bermula di Gerik selain telah mewujudkan satu jawatankuasa.

Teo berkata inisiatif yang dilaksanakan kerajaan Perak berhubung perkara tersebut telah membantu KPM bagi mencapai matlamat 'Pendidikan Untuk Semua'.

Dalam pada itu, bercakap mengenai lawatannya ke sekolah SK Marian Convent, beliau berkata kerja-kerja membaik pulih akan siap sepenuhnya dalam tempoh dua hingga tiga minggu.

"Kontraktor yang dilantik pihak sekolah akan memulakan kerja secepat mungkin bagi membaiki bumbung, siling serta kerja-kerja elektrik.

"Kerja-kerja membaik pulih ini juga akan dijalankan sewaktu hari persekolahan namun kita telah mengingatkan pihak sekolah agar langkah-langkah keselamatan perlu diambil bagi mengelak sebarang masalah lain,"katanya.

Menurutnya, KPM telah memperuntukkan sebanyak RM100,000 bagi membaik pulih infrastruktur beberapa kelas di sekolah berkenaan yang terjejas akibat ribut, pada Ahad lepas.

-- BERNAMA