Kegembiraan seorang kanak-kanak bermain di laman rumah datuknya pada malam raya bertukar duka apabila maut selepas empat hari bertarung nyawa akibat terkena serpihan mercun.

Nuraqira Khaeefa Muhammad Saad, 7 tahun, yang mesra dipanggil Aqira disahkan meninggal dunia petang kelmarin ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.

Bapa mangsa, Muhammad Saad Yusuf, 47 tahun, berkata, kejadian berlaku ketika itu Aqira bersama tiga sepupunya berada di halaman rumah kira-kira 8 malam Khamis lalu.

“Sebelum kejadian, kami ahli keluarga yang berada di dalam rumah terdengar bunyi letupan kuat umpama meriam sehingga menggegarkan tingkap dan pintu rumah.

“Ahli keluarga yang melihat di luar rumah terkejut mendapati Aqira rebah dan darah mengalir dari kepalanya,” katanya ketika ditemui di Felda Papan Timur, di sini, semalam.

“Saya yang melihat keadaan anak terus memangkunya di dalam kereta untuk di bawa ke Hospital Kota Tinggi sebelum dia dirujuk ke HSA dan sepanjang perjalanan dia pengsan, tidak sedarkan diri sebab pendarahan banyak di kepalanya.

“Saya difahamkan kejadian berpunca daripada serpihan bekas mercun dipercayai buatan sendiri yang terpelanting dari rumah penduduk lain ke halaman rumah kami hingga terkena bahagian kiri kepala Aqira,” katanya.

Muhammad Saad berkata, Aqira sudah berada di kampung sejak cuti persekolahan bermula dan tidak menyangka percutian Aidilfitri di kampunjg isterinya, Azalina Salamat, 43 tahun, itu berakhir tragedi.

“Sambutan Syawal kami tahun ini hanya di hospital. Saudara-mara semua datang ke hospital untuk lawat Aqira yang koma selepas pembedahan dilakukan di bahagian kepalanya.

“Semalam (kelmarin) doktor maklumkan keadaan Aqira makin lemah sebelum dia menghembus nafas terakhir pada 7 petang,” katanya.


'Minta beli mercun, lakar gambar kepala'

Menurutnya, beberapa hari sebelum Syawal, Aqira ada menghantar mesej menerusi aplikasi WhatsApp memintanya membelikan bunga api selain turut melakar gambar bahagian kiri kepalanya seolah-olah cedera.

“Pesanan itu dikirim ketika saya sedang bekerja sebelum pulang pada malam kejadian. Saya pun tak tahu apa makna lukisan yang dia hantar kepada saya tapi selepas apa berlaku saya baru perasan lukisan itu sama dengan kecederaan dialami iaitu di bahagian kiri kepala.

“Pada malam kejadian juga saya sempat bawa balik kasut raya untuk Aqira tapi tak sangka dia tak berpeluang menggunakannya,” katanya.

Muhammad Saad yang bekerja sebagi guru sekolah memandu berkata, mereka sekeluarga bagaimanapun reda dengan ketentuan-Nya.

“Jenazah Aqira selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Papan Timur pada 9 pagi tadi (semalam). Kami reda pemergiannya, ajal maut semuanya sudah ditetapkan ALLAH saya terima ujian ini,” katanya.

Sementara itu, bapa saudara mangsa, Azhar Salamat, 47 tahun, berkata, Aqira antara anak buah yang rapat dengannya ialah seorang yang periang dan baik dengan sepupunya.

“Arwah rapat dengan ahli keluarga termasuk sepupunya dan kami sempat berbuka puasa bersama pada hari terakhir puasa. Dia sempat cerita dia puasa penuh tahun ini dan tak sabar mahu beraya, pakai baju raya.

“Tapi ALLAH lebih menyayanginya. Saya harap kejadian ini dapat dijadikan pengajaran kepada semua orang dan berharap netizen tidak melemparkan tuduhan tidak berasas terhadap keluarga kami.

“Adik ipar saya hanya berserah kepada ALLAH atas kecuaian insan yang meragut nyawa anaknya dan tidak bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah ketika dihubungi mengesahkan kejadian berlaku pada 14 Jun sehari sebelum Syawal.

“Kes yang dilaporkan pada 18 Jun ini kita siasat di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1958 dan Seksyen 33 Akta Kanak kanak.

“Kita masih siasatan punca sebenar kejadian. Mohon orang awam yang ada maklumat untuk menghubungi polis Kota Tinggi atau Pemangku Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, Asisten Superintendan Aziziul Hamsar,” katanya.