Tiga pekerja yang berada di dalam sebuah kantin di Sekolah Kebangsaan Siol Kanan di sini berdepan detik cemas apabila bumbung kantin tersebut runtuh dalam kejadian sekitar jam 12.50 tengah hari Jumaat.

Mereka bagaimanapun berjaya mengelakkan sebarang kecederaan kerana sempat bergegas keluar sebelum struktur bangunan itu ranap.

Insiden berlaku ketika murid-murid di sekolah tersebut telah pulang ke rumah masing-masing memandangkan sesi persekolahan berakhir awal untuk solat Jumaat, selain berlangsungnya aktiviti sukan sekolah.

Menurut saksi yang enggan namanya didedahkan, seorang pekerja sedang membersihkan lantai kantin manakala dua lagi termasuk pemilik kantin sedang berehat ketika insiden terjadi.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Kuching, Ismail Ibrahim, mengesahkan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

“Pihak sekolah telah sedia maklum akan bangunan kantin tersebut yang uzur dan pihak Pejabat Pendidikan Daerah Kuching telah mengeluarkan arahan supaya tiada sebarang aktiviti melibatkan murid diadakan di kawasan kantin tersebut sejak sebulan yang lalu.

“Pihak sekolah juga telah memohon kepada Jabatan Kerja Raya untuk melaksanakan pemeriksaan terhadap premis terbabit.

“Susulan insiden tersebut, tindakan segera mematikan sumber bekalan elektrik telah dilakukan manakala pita keselamatan dipasang di sekeliling kawasan bangunan yang terlibat.

Sekolah tersebut menempatkan 875 murid termasuk prasekolah, 59 guru dan 8 kakitangan awam.