Kanvas tersekat bawah tren MRT, ramai terkandas

Kanvas tersekat bawah tren MRT, ramai terkandas
Kanvas papan iklan yang terjatuh pada landasan MRT di antara stesen Pusat Bandar Damansara dan Phileo Damansara. - Foto Rapid Rail
KUALA LUMPUR: Hujan lebat dan angin kencang telah menyebabkan gangguan perkhidmatan MRT di Damansara apabila kanvas pada sebuah papan iklan bersebelahan laluan MRT Sungai Buloh-Kajang terjatuh pada landasan berkenaan pada pukul 3.30 petang tadi.

Kanvas tersebut terjatuh di antara stesen Pusat Bandar Damansara dan Phileo Damansara sehingga menyebabkan ia tersekat di bawah salah satu gerabak tren yang melalui kawasan berkenaan.

Hujan lebat menghalang juruteknik Rapid KL dari mengeluarkan kanvas yang tersekat di bawah tren itu dan tren tersebut terpaksa dihentikan serta-merta di antara kedua-dua stesen manakala tren di kawasan lain bergerak dengan perlahan dan diberhentikan lebih lama di stesen lain.
Ramai penumpang MRT yang terjejas meluahkan perasaan mereka dengan memuat naik status di laman sosial Twitter dan Facebook.

 




Perkhidmatan bas ulang-alik segera digunakan untuk membantu penumpang di antara stesen Phileo Damansara dan Semantan.

Cepisan kanvas itu dibersihkan dari trek berkenaan pada pukul 5.39 petang untuk membolehkan perjalanan keretapi kembali lancar.

 

"Kami berasa lega kerana tidak ada kecederaan atau kematian yang disebabkan oleh insiden itu dan tidak ada kerosakan besar terhadap tren dan trek kami," kata pihak Rapid Rail dalam satu kenyataan media.

Rapid Rail turut berkata pelanggan yang terjejas boleh mendapatkan bayaran balik di kaunter perkhidmatan pelanggannya.




Tag: MRT, Facebook, Kajang, keretapi, Sungai Buloh, Phileo Damansara, rapidkl, rapid rail


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.