Operasi carilamat (SAR) susulan kejadian kapal dagang yang karam di timur Tanjung Sepang, dekat sini, diteruskan hari ini dengan usaha pencarian diperluaskan ke 120 batu nautika persegi daripada lokasi kapal berkenaan terbalik.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Maritime Rescue Sub Centre (MRSC Johor) telah bertindak sejurus menerima maklumat mengenai kapal MV Amanda itu yang karam pada jam 2 petang Selasa.

Katanya, berdasarkan maklumat dari kapten kapal, MV Amanda mengalami kerosakan pada janakuasa dan menyebabkan enjin kapal tidak berfungsi.

Aminuddin berkata, kapten kapal telah membuat 'full astern' (undur penuh) namun kapal berkenaan tidak dapat berundur ekoran ombak kuat.

Disebabkan itu, kapal berkenaan bertembung dengan kapal lain menyebabkan ia terbalik dan karam.

Gambar identiti mangsa yang terselamat, terkorban dan hilang dalam kejadian kapal dagang MV Amanda yang membawa sembilan kru, kesemuanya warga asing terbalik dan karam di perairan timur Tanjung Sepang dekat Kota Tinggi, Johor, petang Selasa. - BERNAMA
"Apa yang membimbangkan kami adalah, kapal yang telah tenggelam ini akan hanyut. Apabila ia hanyut, ia akan pergi terus ke kawasan laluan perairan antarabangsa.

"Kawasan tersebut agak sibuk dan ini boleh memberikan masalah atau mengakibatkan berlaku satu insiden lagi kepada kapal lain yang lalu di kawasan tersebut.

"Juga, kita sedang membuat operasi mencari satu mangsa yang masih hilang. Jadi, kita sedang membuat carian keliling kawasan kejadian di atas permukaan laut dan pada masa sama mencari mangsa hilang di dalam kawasan kapal yang tenggelam itu.

"Ini memberi kesulitan kepada pihak penyelam dan kita akan membantu mereka dari segi keselamatan," kata Aminuddin.

BACA: Tiga hilang kapal dagang terbalik di Kota Tinggi

Pada kejadian itu, kapal tersebut yang membawa sembilan kru, kesemuanya warga asing, telah mengalami kerosakan pada janakuasa sehingga menyebabkan wheel kapal tidak dapat berfungsi.

Ketika cuba membuat undur penuh, ombak telah menolak kapal berkenaan menyebabkan ia bertembung dengan kapal lain lalu terbalik dan karam.

Kesemua mangsa berusia 23 hingga 51 tahun, melibatkan tujuh lelaki warga Bangladesh dan dua lelaki warga China.

Dua telah ditemui mati, seorang masih hilang, manakala yang dikenal pasti selamat membabitkan lima warga Bangladesh dan seorang warga China.

Pangkalan hadapan carilamat (PHC) telah ditubuhkan di Pos Maritim Pengerang bagi menyelaras usaha mencari mangsa yang masih hilang.

Sebanyak tiga buah kapal dan sebuah bot Maritim Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Pasukan Polis Marin membantu menjalankan operasi berkenaan.

Pasukan selam juga telah bersiap sedia untuk melakukan selaman bagi mencari mangsa yang masih hilang.