Jabatan Laut Malaysia (JLM) menolak laporan sebuah portal berita bahawa kapal Pedoman miliknya kini berada dalam perairan Singapura.

Ketua Unit Korporat JLM Yusnan Abdul Rani berkata kapal penyelenggaraan pelampung pandu dengan 22 krew itu berada dalam kawasan had pelabuhan Johor Bahru yang telah diwartakan bagi menggantikan kapal Polaris yang telah keluar dari kawasan tersebut pada 5 Jan.

"Kapal Pedoman kini berada di posisi yang sama seperti kedudukan kapal Polaris yang lepas iaitu dalam kawasan had pelabuhan Johor Bahru yang telah diwartakan.

"Kapal Pedoman dan Polaris sentiasa berada dalam perairan Malaysia sepanjang pengoperasian mereka," katanya kepada Bernama menerusi emel.

Sebuah portal berita pada Rabu melaporkan bahawa kapal Polaris telah keluar dari perairan Singapura. Portal itu juga mendakwa kapal Pedoman kini berada dalam perairan negara republik itu.

"Kapal Pedoman telah menggantikan kapal Polaris kerana kapal itu perlu mengambil bekalan minyak dan air," kata Yusnan dan menjelaskan bahawa kapal Polaris kini berada di Jeti Jabatan Laut, Tanjung Pelepas, Johor.

BACA: Malaysia tak akan beralah dengan Singapura - Liew

BACA: Dakwaan Singapura tidak tepat, had Pelabuhan JB tidak ceroboh ke Singapura

Beliau berkata antara tujuan kapal tersebut ditempatkan di lokasi itu adalah bagi melaksanakan fungsi JLM iaitu menjaga keselamatan pelayaran dalam kawasan had pelabuhan Johor Bahru yang baharu selain memantau pergerakan trafik dan laluan kapal di kawasan tersebut.

Selain itu, kapal tersebut juga bertujuan memantau keselamatan kapal-kapal yang berlabuh dan beroperasi dalam kawasan had pelabuhan yang baharu.

BACA: Isu ruang udara, sempadan laut: Malaysia cadang mesyuarat dengan Singapura

Pada 6 Dis 2018, Singapura mendakwa kapal-kapal kerajaan Malaysia telah secara berterusan menceroboh perairannya.

Malaysia bagaimanapun menafikan dakwaan itu, dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kapal Malaysia akan terus kekal di kawasan pertikaian sempadan sehingga proses perundingan selesai.

BACA: Hak Malaysia diambil kira dalam penyelesaian sempadan perairan - Tun M

BACA: [PERSPEKTIF] Sempadan Maritim Malaysia-Singapura: Ibarat rumah tidak berpagar

Pada Selasa, Malaysia dan Singapura bersetuju menubuhkan sebuah kumpulan kerja berkaitan isu maritim membabitkan had pelabuhan Johor Bahru dan Singapura diketuai Setiausaha Tetap Kementerian Luar Singapura, Chee Wee Kiong dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Malaysia, Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob.

Kumpulan kerja itu akan mengkaji dan membincangkan isu perundangan dan operasi untuk meredakan keadaan di lapangan dan menyediakan asas untuk perbincangan dan rundingan lanjut, selain akan melaporkan kepada Menteri Luar kedua-dua negara dalam tempoh dua bulan.

-- BERNAMA