Kementerian Kesihatan hari ini mengesahkan kapasiti hospital awam untuk merawat lebih ramai pesakit COVID-19 lebih tinggi, ekoran kejayaan bersama meratakan lengkungan penularan wabak itu di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan. Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia membolehkan kementerian meningkatkan lagi persiapan sekiranya ada gelombang baharu akibat wabak itu.

“Misalnya, kadar keseluruhan bagi penggunaan katil di 40 buah hospital yang dikhususkan bagi perawatan COVID-19 dan 26 pusat rawatan COVID-19 berisiko rendah (hospital extension centres) adalah 17 peratus.

“Selain itu, kadar penggunaan bagi katil Unit Rawatan Rapi (ICU) yang dikhususkan untuk pesakit disyaki dan disahkan positif COVID-19 adalah tujuh (7) peratus (iaitu 31 buah daripada jumlah 422 buah). Penggunaan alat bantuan pernafasan (ventilator) pula adalah hanya satu (1) peratus (iaitu 12 buah daripada jumlah 1,059 buah),” katanya lagi.

Dr Noor Hisham berkata sedemikian dalam sidang media harian COVID-19 di Putrajaya, hari ini.

Terdahulu, beliau memaklumkan sebanyak 105 kes baharu dicatat, dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,747 kes.


Dalam pada itu, beliau sekali lagi mengingatkan seluruh rakyat Malaysia bahawa pandemik COVID-19 masih belum berakhir, walaupun kerajaan telah membuat keputusan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 4 Mei ini.

“Risiko penularan secara mendadak di negara kita masih wujud sekiranya kita lalai dan alpa dalam mengamalkan norma baharu kehidupan seharian.

“Justeru, kerjasama dan komitmen semua lapisan masyarakat dalam memainkan peranan masing-masing adalah sangat penting untuk memastikan kita berjaya menewaskan virus COVID-19,” katanya lagi.