Kebakaran tingkat dua Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru dua bulan lalu berpunca daripada kapasitor di dalam lampu yang terbakar.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, laporan lengkap yang telah diterima daripada pihak Bomba dan Jabatan Kerja Raya (JKR) mengesahkan punca kebakaran tersebut.

Beliau berkata, kapasitor di dalam lampu yang terbakar itu dikatakan berkemungkinan terkena bahan mudah bakar termasuk cadar, baju pesakit dan langsir sehingga menyebabkan api pantas marak.

Katanya, setakat ini pihak kementerian hanya menunggu laporan daripada lima syarikat konsesi yang dipertanggungjawabkan untuk menyelenggara pendawaian di hospital berkenaan sebelum pembentangan laporan penuh dibentang dalam Kabinet.

Bagaimanapun katanya, berdasarkan laporan bomba dan JKR, kapasitor di dalam lampu yang terbakar dan mengena bahan mudah bakar yang berada berhampiran disahkan menjadi punca utama kebakaran yang meragut enam nyawa pesakit yang dirawat di wad ICU terbabit.

“Laporan sudah kita terima daripada bomba dan pihak lain yang menjalankan siasatan, iaitu JKR dan Suruhanjaya Tenaga.

“Salah satu daripada puncanya adalah kapasitor dalam lampu telah terbakar dan dikatakan mungkin ada bahan yang senang terbakar di bawahnya. Apabila terkena, (api) senang merebak,” ujar Subramaniam.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan bekalan peralatan program 1Azam Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Parlimen Segamat di Balai Raya Taman Yayasan, Segamat pada Jumaat.

Mengulas lanjut Subramaniam berkata, blok bangunan HSA yang mengalami kerosakan akibat kebakaran 25 Oktober lalu itu sedang dibaik pulih dan dijangka dapat digunakan sepenuhnya dalam tempoh enam bulan lagi.

Katanya, pihak kementerian juga sedang menyusun beberapa strategi untuk mengurangkan kesesakan di hospital berkenaan termasuk mengkaji penambahan blok bangunan baharu.